Pensyarah kanan didakwa peroleh rasuah RM800
30/06/2009 11:29am
KLANG 30 Jun - Seorang pensyarah kanan sebuah universiti di Cyberjaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh rasuah wang tunai RM800 daripada seorang pelajarnya sebagai habuan dalam usaha menaikkan markah dan seterusnya meluluskan perempuan terbabit.
Krishna Prasad Pramulapati, 52, warga India didakwa memperoleh wang tersebut daripada S. Kumalini Devi, 24, sebagai dorongan untuk dia meluluskan kertas jawapan peperiksaan TCS 3211 bagi subjek Algorithm Analysis bertarikh 22 Jun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 5 petang, 24 Jun lalu di bilik FIT BR 4020 Blok B, Faculty Of Information Technology Universiti Multimedia, Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang dekat sini.
Krishna didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi.
Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Ogos.
Tertuduh diwakili peguam Arunan Selvaraj manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abd. Khairi. - Utusan